testing

                                                                 Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, April 22, 2010

Redha....

Alhamdulillah...sepupuku sudah bergelar seorang ayah kepada seorang cahaya mata lelaki pada tanggal 12 April lalu, iaitu tarikh yang sama dengan anak buahku. Gembira rasanya melihat seorang demi seorang tidak kira kawan ataupun saudara-mara ku menimang cahaya mata. Jauh di sudut hati, bilakah tiba masanya aku pula bergelar seorang ibu. Kerap-kali aku ajukan pertanyaan yang serupa kepada suamiku yang barangkali sudah setinggi langit kesabarannya menghadapi pertanyaan 'bodohku'.."Papa, bila kita nak dapat anak ni Papa. Dah lama betul Mama rasa kita macam ni je Papa". Namun dia tidak pernah jemu menjawab walaupun dengan jawapan yang tetap sama. Masakan dapat jawapan yang lain kalau soalannya asyik begitu sahaja. "Sabarlah Mama, belum rezeki lagi Ma".
Mujur aku memiliki seorang suami yang benar2 memahami hati dan perasaanku. Dia benci melihatku menangis kerana padanya aku menangis untuk sesuatu yang tidak patut ditangiskan. Mungkin benar katanya. Aku terlepas pandang atau aku ini manusia yang tidak tahu bersyukur. Seringkali aku merasakan apa yang berada di tangan orang lain adalah lebih baik daripada yang ada di tanganku sendiri. Astagfirullah...
Suamiku yang sabar dan tenang selalu menasihatiku dengan hal2 yang membuatkan aku harus berkata.."Alhamdulillah..aku bersyukur apa yang aku ada"..
Hal 1:
Kami belum berpeluang memiliki cahaya mata, tetapi Allah bagi kami peluang untuk hidup berdua sepuas2nya seperti pasangan bercinta. Masih ada masa menonton wayang bersama, masih boleh berbaring di riba suami sewaktu menonton tv, masih boleh bersuap-suapan ketika makan walaupun di khalayak ramai, masih boleh bangun di tengahari setiap hujung minggu dan banyak aktiviti yang masih lagi boleh dilakukan berdua tanpa gangguan. Jika ada anak, mungkin aku harus merombak semula rutin kami. Hehehehe..
Hal 2:
Walaupun masih belum ada anak, tapi Allah berikan kami rezeki dalam perkara yang lain pula. Kami dapat membeli sebuah rumah yang bakal siap pada awal tahun hadapan. Kami dapat membeli sebuah lagi kereta untuk kegunaan perniagaan dan kami juga dapat bekerja siang dan malam mengumpul duit untuk kesenangan anak2 nanti.InsyaAllah..Jika ada anak, sudah pasti tumpuanku harus lebih padanya dan tidak dapat membantu suami berniaga lagi..
Hal 3:
Sementara belum ada anak, aku masih boleh berbelanja mengikut 'suka hati aku'..beli itu, beli ini. Aku masih boleh membelikan suamiku sehelai dua pakaian baru setiap kali dapat gaji. Kami boleh selalu makan di luar dan tak perlu memasak di rumah. Jika ada anak, barangkali aku banyak menghabiskan wang perbelanjaanku untuk membeli keperluan anak seperti 'pampers', susu, pakaian dll. Aku harus mengenepikan sedikit wang jika ada kecemasan seperti anak sakit di tengah malam dan kos untuk mengupah pengasuh menjaganya.
Hal 4:
Aku masih berpeluang mendekatkan diri pada Allah swt sebanyaknya. Aku berpeluang memandu kereta menghadiri majlis2 keagamaan & zikir. Aku masih punya masa menggantikan solat2 yang telah ku tinggalkan dulu. Aku masih boleh mengerjakan solat2 sunat. Aku masih banyak masa untuk bersendirian bersama kekasihku..Allah swt...Alhamdulillah..Inilah nikmat yang sangat berharga.
Hal 5:
Allah swt Maha Mengetahui kemampuan dan kesediaan kami untuk memiliki anak pada waktu ini. Kewangan kami yang belum stabil ekoran hutang yang masih banyak perlu dibayar. Masa kami yang terlalu sibuk dengan kerja dan penuh dengan aktiviti berniaga. Malah, ilmu tentang keibubapaan yang masih cetek dan sedang dalam proses pembelajaran. Dan ilmu agama yang harus kami ajarkan pada anak2 kami masih juga belum mencukupi.
Hal 6:
Aku harus belajar mengambil iktibar daripada mereka yang kurang berkemampuan dan lebih susah hidupnya. Ada mereka yang masih tinggal di rumah sewa, walaupun anak sudah empat lima. Ada mereka yang hanya punya motosikal sahaja membonceng anak duduk di tengah untuk dibawa ke sekolah. Ada juga yang masih belum berkahwin walau sudah lanjut usia. Ada ramai yang menahan nafsu berbelanja demi memikirkan keperluan anak yang harus diutama. Ada ramai lagi yang sudah bertahun lamanya berumahtangga, masih sabar menanti kehadiran cahaya mata dan tetap menyinta sesamanya. Ada yang lalai ibadahnya, kerana sibuk melayan dan menguruskan anak semata2.

Hal2 begini yang membawaku menjadi manusia yang tahu menghargai nikmat Allah swt..Belajarlah untuk bersyukur apa yang ada, sabar & redhalah apa yang tiada. "Boleh jadi kesenangan itu membawa keburukan, dan kesusahan itu memberi kebaikan buat kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui". (al-Baqarah : 216)...Terima kasih suamiku atas segala nasihatmu....